Sunday 13 August 2017

AKU DAN KAWASAKI ZX7R : RIDE KE BETONG BIKE WEEK 2017






BETONG BIKE WEEK (BBW) : 3-6 OGOS 2017

Aku pun tak ingat siapa yang post event BBW nie dalam group wassap,  lepas dapat tahu aku berminat dan tertarik untuk ride ke sana 😍😘. Aku terus nekad ajak beberapa rider untuk ke sana. 



Shamsudin dan Fauzi (Yol) orang kedua dan ketiga yang berminat untuk pergi, kemudian diikuti Oden dan Nano. Alhamdulillah walaupun perancangan tidak sampai 3 minggu, ride ini berjaya dilaksanakan. Tambahan pula Betong Thailand tu dekat sangat dengan rumah agam aku kat pekan Gerik. Tu yang berkobar-kobar. 😄😄😄


3 OGOS 2017 (KHAMIS)

Seperti yang dirancang dalam pukul 5.30 petang aku menunggang Kawasaki ZX7R L Spec menuju ke Kampung Tanjung Langsat. Tiba di sana aku terus menuju ke Jeti laut kerana Amir dan Sam sedang minum di restoren Sri Bahagia. Aku ambil kesempatan untuk  mengalas perut sambil menunggu masuknya waktu Maghrib. 8.15 malam, selepas menunaikan Solat Maghrib dan jamak Isyak, Kami bertiga: aku (ZX7R) Sam (ZX2R) dan Yol (ZX2R) bertolak ke check point seterusnya. Amir dan Azmi menyaksikan keberangkatan kami. 


Tg Langsat
Kami berhenti mengisi minyak di Shell RnR Layang Lebuhraya Senai-Desaru. Jentera Sam meragam, air tangkinya tendang. Selepas berbincang aku meneruskan perjalanan ke Hentian Kulai kerana Oden sudah menunggu di sana. 

RnR Layang
Manakala Yol mengikuti Sam pulang ke bengkel Tg Langsat untuk menyelesaikan masalah pada jenteranya. Lebih kurang 9.15 malam, aku tiba ke hentian sebelah Kulai, kelihatan Mat Noh menemankan Oden (ZX2R) di wakaf, barangkali dia dari perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Skudai. Kami bersembang di situ menunggu kedatangan Nano dari Kulai. Hampir sejam barulah Nano muncul dengan jentera Suzukinya RG500.
10.30 malam kami berempat bergerak ke Air Hitam, cadangnya nak tunggu Sam dan Yol di  situ sambil mengeteh. Restoren Raudah bukan lah asing bagi kami, restoren tu tempat port geng ZXRian Johor berkumpul paling kurang sekali setahun.


4 OGOS 2017 (JUMAAT)

Hampir jam 12.00 pagi akhirnya Sam dan Yol pun sampai, kami memberi peluang kepada mereka untuk minum dan makan. Hampir jam 1.00 pagi baru lah kami berlima meneruskan perjalanan manakala Mat Nor yang menunggang Yamaha Lagendanya pada malam itu bertolak pulang ke rumahnya di Simpang Rengam. Respect dengan semangat brotherhood yang ada pada Mat Nor. 


Stesen Minyak Shell RnR Pagoh


Kami berhenti mengisi petrol di Shell Pagoh, jentera Sam meragam lagi, kami terkandas hampir 40 minit di situ sebelum meneruskan perjalanan dan berhenti rehat di RnR Seremban pada jam 4.00 pagi. Selepas berehat selama 30 minit kami meneruskan perjalanan setelah mengisi petrol di Shell Seremban. Pada pukul 5.30 pagi,  kami berhenti rehat di Hentian sebelah Tanjung Malim, isi petrol dan menunaikan solat Subuh. 

Hentian Sebelah Tanjung Malim
6.30 pagi kami meninggalkan Hentian Rehat Tanjung Malim untuk menuju check point kami yang seterusnya RnR Sungai Perak. Semasa melalui kawasan Tapah aku sudah terpisah dengan kawan-kawan yang lain kerana aku tetap meneruskan perjalanan walaupun hujan turun di sekitar kawasan Tapah. Selepas Simpang Pulai hujan mulai reda, tapi ku sangka cerah sampai ke petang rupa-rupanya bersambung setibanya aku di Terowong Menora hingga lah ke Sungai Perak.  Aku tiada pilihan, nak berhenti berteduh memang tiada tempat yang sesuai kerana kawasan lereng berbukit yang curam, sambil berdoa aku meneruskan perjalanan semoga sentiasa di dalam lindungan Allah SWT. Alhamdulilah berkat kesabaran akhirnya aku dan jenteraku selamat sampai di kawasan RnR Sungai Perak, tanpa berlengah aku terus menuju ke stesen minyak Petronas untuk mengisi bahan api, keadaan di situ agak sesak kerana puluhan rider berteduh daripada hujan. Selepas tangki jenteraku penuh, aku meletakkan jenteraku di kawasan RnR dan menunju ke tempat persalinan untuk menukar T-shirtku yang sudah basah. Sambil menunggu yang lain aku sarapan pagi dan memesan air panas untuk menghangatkan badan yang kesejukan.  


Muka rider yang kelaparan dan kesejukan 😆😆😆
20 minit kemudian sampailah kawan-kawan ku di RnR Sungai Perak. Betul tekaan aku mereka berhenti berteduh di kawasan Tapah semasa hujan turun. Kami berehat, sarapan dan berteduh daripada hujan hampir sejam di situ. Lebih kurang 10.00 pagi kami meneruskan perjalanan dengan memasuki persimpangan Kuala Kangsar untuk menuju ke Gerik. Belum pun sampai di Lenggong Sam bagi isyarat untuk berhenti kerana Oden dan Nano tersalah haluan. Aku kurangkan kelajuan untuk mencari tempat yang sesuai menunggu mereka. Akhirnya aku ambil keputusan untuk berhenti menunggu di Dataran Warisan Lenggong dan ikuti oleh Sam dan Yol. 10 Minit kemudian Nano dan Oden pun sampai dan berhenti di tempat kami.


Dewan Warisan Lenggong
Kami meneruskan perjalanan dan selamat sampai di rumahku di Desa Baiduri pada jam 11.30 pagi.

12.00 tengahari abang iparku Halim singgah di rumah berjumpa dengan aku dan kawan-kawanku . Selepas menunaikan solat Jumaat aku masuk ke bilikku dan melelapkan mata untuk berehat. Jam 5.00 petang abang aku janji nak ajak tts dengan geng motor dia di Gerik. 
 
Lebih kurang 5.30 petang kami bertolak ke Kuala Rui bersama abang Halim yang menunggang Suzuki Katana 400 menuju ke rumah abang Ucop pemilik Suzuki GSXR 1100. Kehadiran kami memang telah di nanti oleh abang Ucop. 


OTW Kuala Rui


Berkumpul di rumah abang Ucop Gsxr 1100
Selepas beramah mesra kami menuju ke bengkel Abang Atan di Batu 2 Gerik. Abang Halim memimpin kami ke sana melalui jalan belakang Kuala Rui tembus ke pekan Gerik. Lebih kurang 6.30 petang kami sampai ke kawasan bengkel abang Atan, beliau menyambut kehadiran kami dengan penuh gembira lebih-lebih lagi dengan kehadiran jentera Suzuki RG500 milik Nano yang sangat rare dan terhad unitnya di Malaysia. 

Depan bengkel bro Atan, Batu 2 Gerik



Sempat juga abang Atan menunggang uji jentera RG500 Nano. Petang itu raut kegembiraan dan keghairahan jelas terpancar di wajah abang Atan. Selepas itu kami TTS di warung besebelahan bengkel abang Atan, turut hadir petang itu ialah abang Amin pemilik Suzuki X7 250. Selepas TTS kami melawat bengkel abang Atan, kawan-kawan ku begitu teruja melihat mesin-mesin kerja milik abang Atan. Dua buah jentera Suzuki GSXR 750 dan RGV 250 milik abang Atan. Ditambah lagi dengan kepakaran abang Atan menghasilkan helmet.   


Abang Amin memberi taklimat semasa lawatan rasmi di bengkel Abang Atan

Kami pulang menunaikan solat dan bersiap siaga kerana telah berpakat dengan abang Atan untuk ride ke sempadan Pengkalan Hulu-Betong. Abang Atan diiringi 2 orang lagi rider dari Gerik Motor Retro Club membawa kami ke sana melalui Gunung Paku dan Kelian Intan, bukan main lagi seronok depa melayan selekoh, aku tak berani sangat, mata pun kurang awas. Hebat betul jentera ZX750R ni, walaupun sudah berusia hampir 24 tahun, selamba je mendaki Gunung Paku tak payah nak drop sampai gear 4, 5 pon dah okey. Teruja le teman dibuatnya 😊

TTS DI Pengkalan Hulu
Dalam pukul 10.30 malam, akhirnya kami sampai ke sempadan setelah melayan selekoh-selekoh yang mencabar di sepanjang perjalanan. Kami melepak di situ sambil berkongsi cerita dan pengalaman. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran Suzuki Katana abang Halim dan Kawasaki ZZR1000 milik Ijat Keroh. Selepas bersembang dan beramah mesra di situ kami menuju ke sebuah warung di Pengkalan Hulu atas permintaan Ijat (Keroh Rider Club). Kami menyambung perbualan sambil minum dan makan. Oden payung malam tu, rupanya birthday dia hari tu,  semoga dipanjangkan umur bro dimurahkan rezeki bro


5 OGOS 2017 (SABTU)

Abang Halim dan Abang Halim sedang bersosial
Tepat jam 12.00 pagi kami bertolak pulang ke Desa Baiduri, esok kami ada program penting. Sampai di rumah ingatkan semua pakat nak tido rupanya Sam dengan Yol start godeh jentera masing-masing, Aku pun  melayan, sampai la perasan dah dekat 3.00 pagi, terus aku masuk bilik tidur. 😴😴

Suasana pagi di Gerik amat nyaman, kabus masih tebal, macam kat Paris je rasanya. Kami tidak bercadang untuk bertolak awal ke event Betong Bike Week. Nano berbesar hati membeli sarapan untuk semua di warung penjaja tepi jalan di taman Desa Baiduri. Terima kasih Nano semoga Allah swt limpahi rezeki buat mu. 10.30 pagi kami bertolak ke destinasi yang hendak di tuju. Baru je sampai Kilang Kayu jentera Sam meragam lagi. Aku, Nano dan Oden meneruskan perjalanan manakala Sam dan Yol balik semula ke rumah untuk merawat jentera Sam. Aku memilih untuk melalui Felda Nenering, kesian kat member nak mendaki gunung Paku yang tinggi tu. Jarak perjalanan lebih kurang 20km, jalanya kaya dengan selekoh dan tidak sibuk, seronok juga main corner di sepanjang jalan.  Sampai je di Pengkalan Hulu, kami berhenti di sebuah warung di tepi simpang untuk menunggu Sam dan Yol. Masa minum dan makan di situ berderu-deru kumpulan motorsikal menghala ke Betong. Sambil menjamu selera dan berehat, Oden pergi ke IPD PDRM Pengkalan Hulu untuk mendapatkan pengesahan perakuan salinan geran motornya. 

Pukul 12.00 tgh kami bertolak ke Betong melalui kawasan imigresen Malaysia dan Thailand. Ramai pulak orang nak masuk Betong pada hari nie. 

Sebelum melepasi Imigresen Malaysia
Sebelum melintasi Imigresen Thailand



Satu ilmu baru yang aku pelajari hari ini. Mengisi borang pengistiharan membawa kenderaan masuk ke Thailand.  Satu salinan Imigresen Thai simpan dan satu lagi pemilik/penunggang motorsikal simpan dan perlu di serahkan ketika hendak keluar dari Thailand. Jika gagal berbuat demikian siapkan lah duit untuk membayar denda.

Borang Pengistiharan membawa kenderaan memasuki Thailand
Borang lain,.... kena isi borang putih, yang tu sama je macam nak masuk mana-mana negara. Memandangkan kami hanya masuk  balik hari, kami tidak membeli insuran, jarak pekan Betong dari Sempadan pun tak sampai 10 KM. Kami terus menuju ke tapak event mengikut petunjuk yang telah diberikan oleh Ijat (Keroh Bikers). Mungkin ramai orang luar yang tidak tahu ‘Keroh’ tu sebenarnya nama lama untuk Pengkalan Hulu.
Sebelum masuk ke tapak event sempat lagi kami berteduh dan berehat di bawah pokok yang rendang. Ada seorang rider honda cb500f turut serta dengan kami, sambil nak tunggu kawan-kawannya yang masih dalam perjalanan ke tapak event. 

Di depan Terowong sebelum laluan ke Stadium

Bersama Rider daripada Jitra

 
Setengah jam kemudian kami memasuki tapak event yang dibuat di dalam sebuah stadium. Hebat jugak Bandar Betong nie ada stadium tertutup. Ketika kami masuk cuaca agak panas maklumlah dalam pukul 2.00 petang, semasa kunjungan kami hanya gerai-gerai beroperasi aktiviti lain belum dijalankan. Menurut penganjur konsert akan bermula mulai jam 5.00 petang. Kami tak minat konsert-konsert nie. Selepas membeli sticker dan baju kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan. Selepas itu kami bertolak pulang ke Malaysia. 


Peluang yang tidak boleh di sia-siakan 😍
😉😊😎

Sticker event-sempoi sangat...😁😁



Kami tidak singgah di mana-mana memandangkan Yol berada di pintu sempadan Malaysia, Dia tidak masuk Thailand sebab tiada pasport. Atas sebab yang tidak dapat dielakkan motor Nano dan Sam tidak di bawa masuk ke Thailand. Kami tumpang parking kat rumah Ijat. Terbaik la Ijat. Begitu lah semangat bikers walaupun baru kenal sehari tapi semangat brotherhood memang terbaik. 

sebelum keluar melintasi Imigresen Thailand

Bedal aiskrim

Rumah Ijat Keroh Biker
Aku dan Oden meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Manakala Sam, Yol dan Nano menyambung ride ke Tasik Banding dan Puncak Banjaran Titiwangsa.

Sudin dan jenteranya: Puncak Banjaran Titiwangsa
Malam itu kami makan di Restoren Rahim Maidien, abang Amin, Atan dan Halim pun ada sama. Pukul 10.00 malam kami balik ke rumah dan bersiap untuk bertolak balik. Roda depan jentera Sam buat hal pulak nasib baik Abang Atan menghulurkan bantuan membuka bengkelnya untuk mengesan kerosakan roda Jentera Sam. Mujurlah tidak serius, masalah kecil sahaja. Kami ajak abang Atan minum di warung bersebelahan bengkelnya. 
Bengkel Abang Atan-operasi operate moto Sam

6 OGOS 2017 (AHAD)

Hampir ke pukul 12.00 pagi kami bertolak ke Petronas Gerik untuk mengisi bahan api. Di pondok bas berdepan Balai Polis Gerik jenteraku pula meragam, air keluar mungkin suhu enjin terlalu panas. Alhamdulilah dengan kepakaran Sam dan  Oden masalah air tu berjaya di atasi. 



Kami memeruskan perjalanan dan berhenti rehat di RnR Sungai Perak. Selepas itu kami meneruskan perjalanan dan berhenti rehat di RnR Tapah. Kami ambil keputusan untuk tidur sekejap di situ memandangkan hujan mulai turun. Selepas Solat Subuh kami mengisi minyak di BHP Tapah sebelum meneruskan perjalanan ke Kawasan Rehat Ulu Bernam untuk bersarapan. Selepas bersarapan kami meneruskan perjalanan dan berhenti mengisi minyak di Petronas RnR Sungai Buluh. Selepas mengisi minyak kami berehat sebentar di tepi stesen minyak tersebut. Sedang kami duduk berehat kami di sapa oleh seorang warga Jepun yang menunggang jentera KTM, beliau berhajat untuk mengambil gambar motorsikal kami. Kemudian kami ambil gambar bersamanya. Beliau adalah pemilik kawasaki ZX2R di Osaka Jepun 20 tahun yang lalu.


Sebelum keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar


Isi minyak di BHP RnR Tapah

Kawasan Rehat Ulu Bernam
Bersama Rider Japan di RnR di Petronas Sungai Buluh

Beliau yang bekerja di Malaysia merasa amat kagum kerana ZX2R masih wujud dan digunakan di Malaysia. Dia agak terkejut  bila kami maklumkan yang kami dari Johor ke Betong Thailand dan sekarang dalam perjalanan pulang. Kami meneruskan perjalanan dan keluar ke persimpangan Pedas Linggi untuk menikmati makan tengahari di Restoren Sabak Salai. Anda boleh menikmati keenakan daging, ayam, puyuh, keli dan itik salai yang di masak lemak cili api (berapi) di sini. Memang Lazat tapi podas gilerrr....haaaaaaa. 😋😋😋😵


Comelnya si mata bulat nie 😝😝

Depan Restoren Sabak Salai
Selepas menjamu selera kami meneruskan perjalanan, setibanya di Pagoh hujan mulai turun mujurlah aku dah sampai wakaf RnR, hujan pun turun dengan lebatnya. Aku, Oden dan Nano berteduh di situ. Kami menunaikan solat di RnR Pagoh selepas hujan mulai reda. Nano maklumkan yang Sam dan Yol berhenti di Air Keroh untuk melelapkan mata kerana rasa mengantuk yang amat sangat katanya.


Berteduh di RnR Pagoh
Berteduh dari hujan-sempat landing 10 minit 😂😂😂

Sejak berjumpa geng-geng jentera retro Suzuki di Gerik-Nano tidak keruan dibuatnya 😀

Selepas mengisi petrol kami bertiga meneruskan perjalanan sebelum berteduh di bawah fly over kerana hujan. 10 minit kemudian kami meneruskan perjalanan, Aku dan Nano masuk ke lebuhraya E22 manakala Oden meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Lebih Kurang jam 4.30 petang aku sampai di RnR Layang dan mengisi petrol di Shell. Semasa mengisi petrol aku di sapa oleh Anas@ Ciku ahli baru kelab ZX2R. 



Aku meneruskan perjalanan setelah selesai mengisi petrol dan selamat sampai di rumah pada jam 5.00 petang.  Alhamdulillah Ride ke Betong Thailand mencapai objektifnya, Syukur Alamdulillah semua peserta yang terlibat selamat pergi dan pulang. 😊😊😊😊😊


 #Ride Santai Janji Sampai#

Penggunaan minyak  kawasaki ZX7R sehala (RnR Layang-Gerik-RnR Layang) : Purata  pengisian RM15.00 x 5 kali = RM75.00
Jumlah keseluruhan 2 hala = RM 150.00